Bersama Zaharuddin Abd Rahman
PUASA sunat Syawal sememangnya popular di kalangan masyarakat kita. Di kesempatan ini, saya suka menasihatkan semua yang mengamalkannya supaya berhati-hati daripada tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan individu berpuasa itu bermegah dan riak dengan amalannya. “Kau dah hari ke berapa?”“Ini hari kelima.”“Esok aku raya (sunat Syawal).”
Itu semua antara kata-kata yang kerap didengari di bulan Syawal ini. Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam.
Ia agak terpuji tetapi dicemari oleh hebahan yang dibuat berkaitan bilangan hari puasanya bertujuan melihat ‘siapa lebih hebat.’
Amat dibimbangi, tindakan itu bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya kerana ia menjatuhkan seseorang di dalam dosa hati yang bernama ‘sum’ah’. Sum’ah adalah satu penghapus amalan kebaikan apabila amalan kebaikan itu dihebahkan kepada umum bagi meraih pujian dan sanjungan. Memang benar, tidak semua jenis pemberitahuan kebaikan itu salah. Ia lebih tertumpu kepada kawalan niat dan hati seseorang namun dalam banyak keadaan, ramai individu gagal mengawal niatnya daripada berasa bangga dan menunjukkan kelebihan diri.Adapun, bagi segelintir orang soleh, mereka juga berkongsi amalan kebaikan khususnya kepada anak murid supaya ia dapat dicontohi dan diikuti.Jika guru mampu mengawal niatnya, ia tidaklah menjadi penghapus kepada amalannya. Bagi individu biasa, lebih baik jika dapat disembunyikan puasa sunat itu supaya tidak membuka ruang syaitan untuk merosakkan niat.
KEUTAMAAN ANTARA SUNAT SYAWAL DAN QADA
Jika ada yang bertanya mana lebih baik di antara puasa sunat Syawal atau puasa qada?
Jawapannya sudah tentu puasa qada.
Ini terbukti daripada hadis Qudsi yang sahih bermaksud: “...dan tidaklah hampir kepada-Ku seorang hamba-Ku dengan apa jua pun, maka yang lebih Kusukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu/wajib ke atas mereka dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepada-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah Aku kasih kepadanya...,” (Riwayat Al-Bukhari).
Hadis itu sebagai asas keutamaan. Bagaimanapun, daripada sudut praktikal, jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.
Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu qada puasanya selama berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama ketika Ramadan) dan tubuhnya juga sihat dan diyakini masih kuat, eloklah dia mengerjakan puasa sunat Syawal terlebih dulu.
Ini kerana waktu sunat puasa Syawal yang singkat berbanding qada (sepanjang tahun). Bagaimanapun, perlu diingat, walaupun tempoh bagi puasa qada panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dulu.
Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.
Bagaimanapun, seseorang yang mati selepas berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawal, pastinya tiada sebarang masalah, malah mungkin dia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat Syawal itu sekali.
Ia berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa yang ingin melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, sudah dituliskan Allah SWT baginya pahala penuh, maka jika ia berkeinginan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.” (Riwayat Al-Bukhari).
Kita harus memahami bahawa darjat puasa qada adalah lebih tinggi dan tanggungjawab menunaikannya jauh lebih besar daripada sunat Syawal. Ini kerana, puasa qada adalah puasa wajib dan ‘hutang’ ibadat dengan Allah SWT berbanding puasa Syawal yang hanya sebagai tambahan pahala.
dipetik dari harian metro. http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Ekspresi/20091004120848/Article/index_html
0 comments:
Post a Comment
any comment?